Sungai Pisang Waterfall Trekking


Sejak bersekolah aku memang menggemari aktiviti sukan luar (outdoor) berbanding sukan-sukan biasa. Aktiviti-aktiviti seperti merentas hutan (jungle trekking), memanjat gunung (mountain climbing), berkayak (canoeing) dan berbasikal (cycling) menjadi acara-acara pilihan utama untuk aku sertai.

Lepas tamat zaman persekolahan dan berada di alam pekerjaan selama bertahun-tahun, aktiviti-aktiviti seperti ini tidak lagi aku sertai. Bagaimanapun, baru-baru ini ketika melayari laman-laman web tempatan aku terjumpa dengan kumpulan yang mempunyai minat yang sama denganku di laman web Meetup, iaitu The Budget Travellers. Apa lagi, aku pun terus menyertai mereka dan kebetulan pula ada aktiviti trekking yang telah dijadualkan pada hujung minggu tersebut.

Aktiviti pada kali ini adalah trekking ke Air Terjun Sg Pisang (Pisang River Waterfall) yang terletak di daerah Gombak, Selangor. Dikelaskan sebagai air terjun dengan laluan trekking yang sederhana, kawasan air terjun ini turut mempunyai sebuah kawasan perkhemahan berhampiran yang terletak berhadapan dengannya.

Air Terjun Sg. Pisang

Pada pagi Ahad, 4 Julai 2010, seawal pukul 8 pagi aku telah menunggu di restoran McDonald Petronas, Gombak (yang merupakan tempat berkumpul untuk ahli-ahli yang bertolak dari Petaling Jaya) untuk bersarapan pagi dan membeli keperluan makanan dan minuman untuk di bawa bersama. Tidak lama kemudian, Sook Ling tiba bersama keluarganya. Yang menariknya, memandangkan aku tidak pernah lagi bertemu dengan mereka, kami sebenarnya hanya berada di meja yang bersebelahan sebelum diberitahu oleh penganjur aktiviti Patrick, melalui telefon. Tidak lama kemudian, Peter dan keluarga, Patrick, Ivy, KC, Lew dan Jerry pun sampai ke restoran tersebut. Sungguhpun baru pertama kali menyertai mereka, ternyata ahli-ahli kumpulan in sangat ramah dan mengambil berat tentang persiapan dan keselesaan ahli-ahli baru yang bersama mereka. Setelah memastikan ahli-ahli yang lain (dari arah KL) telah mula bertolak, kami pun beransur ke destinasi.

Perjalanan awal melalui kereta sangat mudah kerana masih lagi melalui jalan utama kenderaan iaitu Jalan Genting Lama. Bagaimanapun cuaca yang mulanya panas telah mula bertukar menjadi redup dan mendung. Setibanya di Jungle Lodge Alang Sedayu yang terletak bersebelahan Sg. Pisang, kami meletakkan kenderaan masing-masing dan bersiap untuk turun ke air. Aku yang memakai kasut sukan terpaksa menukar kasut ke selipar memandangkan hampir 90% trekking ini akan melalui jalan sungai.

Pada awal perjalanan tidaklah begitu sukar kerana air sungai yang agak cetek dan hanya berdepan dengan batuan dan laluan yang licin. Terdapat beberapa lagi kumpulan lain yang turut melalui laluan yang sama. Bagaimanapun, setelah melepasi terowong, hujan renyai-renyai mulai turun dan air sungai semakin deras. Rupanya, di hulu sungai tersebut hujan sudah pun lebat dan meningkatkan paras air. Kumpulan lain yang kami temui pada awalnya mula berpatah balik. Namun kami tetap meneruskan perjalanan bak kata orang tua; alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

Keseluruhan trekking ke air terjun ini tidaklah mengambil masa yang lama, cuma disebabkan hujan lebat yang turun tiba-tiba menjadikan paras air sungai ini naik dan menenggelamkan laluan yang sedia ada. Beberapa kali kami terpaksa mengubah laluan untuk mengelak dari melintasi air sungai yang tinggi dan deras. Ketika inilah, Patrick dan Ivy memainkan peranan mereka selaku ahli yang paling berpengalaman dalam aktiviti ini, iaitu meninjau (scouting) laluan baru sebelum ahli lain meneruskan perjalanan. Kami juga diberi pilihan untuk meneruskan perjalanan atau berpatah balik memandangkan tiada tanda-tanda hujan lebat akan berhenti setelah hampir sejam! Namun begitu tiada yang mahu berpatah balik kerana air terjun tersebut kini hanyalah kira-kira sepertiga perjalanan sahaja lagi.

Mencari tempat untuk berhenti rehat dan makan tengahari bukanlah mudah memandangkan sungai ini dipagari kawasan berbukit di kiri dan kanannya serta air sungai yang telah melimpahi kedua-dua tebingnya. Kami hanya berhenti setelah tiada lagi laluan tebing untuk kami lalui dan terpaksa meredah sungai untuk meneruskan perjalanan.

Sesungguhnya satu pengalaman paling menarik yang tak dapat aku lupakan ketika makan dengan menongkat sekeping tikar beramai-ramai untuk mengelak makanan dari dimasuki air hujan! Setelah 2 jam berlalu sejak kami memulakan trekking barulah hujan beransur reda dan masing-masing mula tidak melepaskan peluang untuk berendam di dalam air sungai. Setelah Patrick dan KC yang meninjau laluan ke air terjun memberitahu bahawa paras air hanyalah separas pinggang, barulah kami yang lain memberanikan diri meneruskan perjalanan melalui sungai ke kawasan air terjun yang hanya berada sekitar 100 meter dari tempat kami berhenti rehat.

Sememangnya air terjun Sg. Pisang ini sangat menarik dan tidak lagi tercemar, terhasil dari lencongan arah sungai pada kira-kira 45 darjah, menjadikan kawasan air terjun ini betul-betul terletak di hujung laluan. Jika anda memanjat laluan yang curam menuju ke kawasan perkhemahan yang terletak di sebelah atas berdepan dengan air terjun ini, anda akan dapat melihat beberapa lagi siri jeram yang deras yang terletak di atas air terjun ini. Agak mengejutkan juga paras air di bawah air terjun ini hanyalah separas lutut sahaja! Apa lagi, kami yang pada mulanya agak takut-takut untuk bermain air di kawasan tadahan air terjun itu sempat merakamkan aksi bergambar beramai-ramai sambil menikmati kekuatan air terjun yang menimpa tubuh.

Setelah puas menikmati keindahan air terjun dan menggigil kesejukan, kami pun berkemas untuk pulang. Perjalanan balik ternyata agak sukar kerana paras air yang kini meningkat di hilir sungai membuatkan kami tidak lagi dapat mengecam laluan yang diikuti sebelum ini. Nasib baiklah kami hanya perlu mengikut aliran air sungai sahaja dan tidak perlu mencari laluan yang lain. Hampir di setengah perjalanan, kami bertembung dengan kumpulan Renjer Hutan yang memeriksa kawasan sekitar air terjun untuk memastikan tiada pengunjung yang terperangkap di kawasan tersebut ketika hujan lebat tadi, setelah mendapat berita ada kumpulan yang masih meneruskan perjalanan ke air terjun. Kumpulan kami lah tu 😀

Setiba di laluan awal, tiada lagi kelibat batuan besar yang mendatari permukaan sungai. Ternyata sangat berbeza sekali keadaannya berbanding dengan perjalanan masuk kami tadi. Setelah membersihkan diri di sebuah rumah rehat yangberhampiran (Jungle Lodge mengenakan caj sebanyak RM10 untuk menumpang mandi!), kami pun bertolak keluar dari kawasan tersebut.

Aktiviti diakhiri dengan minum petang di restoran McDonald Taman Melati sekitar jam 5 petang.

Review aku untuk aktiviti ini dalam web Meetup:

“The jungle trekking in heavy downfall & rising water, scary yet fun and exciting at the same time. If it’s not for the rain and rising water, the picnic would be twice more fun & not so cold! :DTo sum it up, awesome experience with nature at it’s raw power!”

This slideshow requires JavaScript.


Advertisements

About reannez

A Facebook addicts, reader, gamer, blogger and an adventurer.
This entry was posted in Activities, Adventures, Events and tagged , , , , , . Bookmark the permalink.

2 Responses to Sungai Pisang Waterfall Trekking

  1. Hi. Wow menarik artikel ni… tahniah admin.

  2. Kawasan air terjun sg pisang mmg bersih dan belum tercemar.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s