Perseids Meteor Shower Show


2007 Perseid Meteor Shower

Tahun ini aku sempat meluangkan masa untuk melihat hujan meteor Perseids atau lebih dikenali sebagai Perseids Meteor Shower. Fenomena tahunan kali ini jatuh pada Ogos 2010 dan memuncak pada 11 – 14 Ogos, 2010 dengan kiraan 60 atau lebih meteor pada setiap jam, dari pukul 2 hingga 5 pagi. Bagaimanapun, bagi yang meminati Astronomi dan yang telah terlepas tarikh ini, anda masih boleh cuba melihat ke arah langit Timur-Laut (North-East) pada dinihari sehingga tarikh 17 Ogos nanti.

The Perseus Star

Apa itu Hujan Meteor Perseids dan bagaimana femomena ini berlaku? Hujan Meteor Perseids lebih dikenali sebagai hujan meteor yang paling konsisten setiap tahun. Ianya dapat dilihat apabila Bumi berputar melalui aliran puing-puing (stream of debris) yang ditinggalkan oleh komet Swift-Tuttle, yang mengorbit Matahari setiap 130 tahun sekali. Aliran puing-puing ini merupakan partikel gas-gas dan zarah-zarah halus yang terhasil akibat dari pemanasan ke atas komet ini ketika melintasi Matahari dalam orbitnya. Oleh kerana hujan meteor ini seakan muncul dari arah (titik kemunculan atau radiant) buruj Perseus, maka ia dinamakan Perseids. Oleh kerana buruj Perseus ini terletak di langit Utara, maka negara-negara di sebelah Hemistera Utara lebih berpeluang untuk melihat kemunculan fenomena ini pada bulan Ogos setiap tahun. Kebanyakan partikel di dalam aliran puing Perseids ini berusia ribuan tahun. Maka bayangkan lah usia meteor-meteor yang dapat kita lihat ketika hujan meteor ini berlangsung!

Untuk pertama kalinya aku menyertai aktiviti group Waterfall Survivors, iaitu sekumpulan penggemar aktiviti berunsurkan riadah yang mengkhusus kepada penggembaraan ke air terjun di sekitar Malaysia. Bagi aktiviti Perseid Meteor Shower Show yang dianjurkan oleh kumpulan ini pula, turut di sokong oleh Tourism Selangor dan Majlis Perbandaran Sepang. Turut sama menyertai aktiviti ini adalah kumpulan Malaysia Star Hunter Astronomical Society. Anggaran yang akan hadir untuk sama-sama menyaksikan fenomena ini di Bagan Lalang, Sepang pada malam Khamis, 12 Ogos ini adalah kira-kira 150 orang.

Petang harinya, hujan renyai-renyai turun di sekitar Lembah Kelang membuatkan aku sedikit kecewa. Hampir pukul 12 malam barulah aku bertolak ke Bagan Lalang dengan berpandukan koordinat GPS yang telah diberikan oleh Joe Yap, selaku wakil penganjur dari Waterfall Survivors, kepada yang akan menghadiri acara ini.

Jika mengikut aturcara, seawal pukul 5 petang mereka akan berkumpul di restoran Old Town Kopitiam, Puchong dan sama-sama berkonvoi ke Bagan Lalang. Bagaimanapun, memandangkan acara ini berlangsung di bulan puasa, aku memilih untuk hanya menyertai BBQ Dinner dan terus menunggu kemunculan meteor Perseids sehingga ke awal pagi.

Kira-kira pukul 1.30 pagi aku pun sampai ke pantai Bagan Lalang, di mana telahpun ramai yang berkumpul dengan berbaring beramai-ramai mengadap ke langit pantai, yang mana suasananya lebih gelap dan memudahkan meteor-meteor Perseids untuk dilihat dengan lebih jelas. Terdapat 2 buah khemah sederhana besar yang didirikan oleh pihak Majlis Perbandiran Sepang untuk menempatkan bekalan makanan dan minuman sepanjang aktiviti ini berlangsung. Bagaimanapun, tiada lampu yang dipasang di khemah tersebut sejak tengah malam lagi kerana cahaya yang terang akan mengganggu penglihatan langit yang gelap. Kira-kira 100 orang masih lagi bertahan menunggu di pantai dengan kebanyakan yang lain telahpun beransur pulang.

Setelah membayar yuran untuk acara ini iaitu sebanyak RM25.00 (bagi menikmati barbeque), aku pun mulalah mencari tempat yang sesuai untuk turut sama berbaring di pantai. Aku agak bernasib baik kerana kira-kira pukul 2 pagi, sebiji meteor melintasi pandanganku. Namun begitu, kemunculannya agak singkat dengan cahaya yang terang dan ekor meteor yang pendek.

Menjelang pukul 2.30 pagi, 3 biji meteor telah dapat aku lihat di mana satu daripada menepati ciri-ciri Perseids yang aku tunggu-tunggu, iaitu cerah dan berekor panjang dan dapat dilihat jelas dalam 3 – 5 saat. Inilah yang dikatakan hujan meteor, iaitu kemunculan banyak meteor di angkasa dalam satu malam.

Menjelang pukul 3 pagi, setelah puas dapat melihat meteor Perseids, aku pun beralih ke tapak barbeque dan khemah makanan, yang mana menurut salah seorang pengunjung, adalah acara barbeque pantai terbesar yang pernah disertainya.

Masih terdapat banyak lagi makanan yang tersedia seperti mee goreng, nasi goreng, kari ayam, kurmak ayam, satay, otak-otak, sosej, daging dan ayam untuk dipanggang, serta buah buahan dan kuih muih. Untuk menikmati minuman dalam tin yang disimpan sejuk, RM2.00 perlu dibayar sebagai sumbangan kepada pihak penganjur.

Sambil membakar kepak ayam, satay dan otak-otak, mata tak lepas dari memandang ke langit. Bagaimanapun, suasana cerah di sekitar tempat barbeque hanya mampu untuk aku mendengar sorakan pengunjung lain yang dapat melihat Perseids tanpa sempat aku melihat sebarang kelibatnya. Kali ini lebih banyak yang muncul dari langit Utara, iaitu arah belakang kami. Ketika ini juga, Joe dan yang lain sibuk mencari punca suis untuk memadamkan semua lampu di kawasan pantai! Bagaimanapun, usaha mereka tidak berjaya kerana ianya akan menyebabkan seluruh kawasan di sepanjang pantai akan turut kehilangan bekalan elektrik! Aku meneruskan menikmati makan sahur ku bersama sekumpulan pelajar dari Kolej Taylors dan TOC yang turut sama menyertai acara ini.

Kini aku lebih berminat untuk meninjau planet Musytari (Jupiter) yang kelihatan begitu cerah di langit. Ogos ini juga merupakan bulan di mana planet Musytari (yang akan muncul dari sebelah Timur dengan magnitud** -2.7) dan Uranus akan dapat dilihat dengan mata kasar dengan Uranus berada di sebelah kanan Musytari, tinggi di langit menjelang awal pagi. Menjelang hujung Ogos pula, Uranus dengan kecerahan bermagnitud 6 akan dapat dilihat dalam bentuk segitiga yang leper bersama sebiji bintang bermagnitud 6.3-7 di antara planet Uranus dan Musytari.

Uranus & Jupiter in August 2010

Harapan aku untuk melihat Musytari melalui teleskop kumpulan Star Hunter tidak berjaya kerana ahli yang menjaga fokus teleskop tersebut, William, telahpun terlelap di dalam kereta. Maka aku beransur semula ke pantai untuk menikmati pemadangan langit semula. Sebahagian pengunjung sudah mula beransur pulang sementara yang lain pula mula beralih kedudukan ke kawasan padang di belakang khemah yang lebih menumpu ke arah buruj Perseus di langit sebelah Utara.

Menjelang pukul 4 pagi, lebih 4 butir lagi meteor Perseids dapat kulihat melintasi langit pantai, dengan satu daripadanya secerah yang dapat dilihat sebelum ini tetapi dalam masa yang lebih singkat. Joe dan yang lain mula mengemas kawasan khemah dan barbeque sementara aku pula berkemas untuk pulang. Sempat juga aku mengambil beg sumbangan (goodie bag) yang diberikan kepada setiap pengunjung sebelum aku bertolak pulang.

Pukul 5.30 pagi barulah aku sampai ke rumah dengan rasa mengantuk tetapi cukup puas dengan jumlah keseluruhan meteor Perseids yang dapat kulihat dalam masa 2 jam setengah malam ini, iaitu sebanyak 7 biji!

** Unit magnitud adalah unit yang mengukur kecerahan bintang atau objek di angkasa. Semakin cerah objek tersebut, semakin rendah nilai magnitudnya.

This slideshow requires JavaScript.

Advertisements

About reannez

A Facebook addicts, reader, gamer, blogger and an adventurer.
This entry was posted in Activities, Events, Facebook, Info News and tagged , , , , . Bookmark the permalink.

One Response to Perseids Meteor Shower Show

  1. Pingback: Langit Malam Ogos 2010 | chronicles of confusion

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s